Sunday, March 15, 2009

Calon Anak Tempatan Ismail Saffian Wakil BN Tanding Bukit Gantang





TAIPING, 14 Mac (Bernama) -- Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang Ismail Saffian diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman berkenaan pada majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di Taman Kota Jaya, Simpang, dekat sini hari ini.

Ismail, 49, adalah Pengarah Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara dan berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Najib yang juga Pengerusi BN Perak berkata calon yang dipilih adalah anak tempatan seperti yang dikehendaki oleh masyarakat setempat.

Pemilihan calon dibuat daripada perbincangan dengan pimpinan bahagian dan negeri serta tinjauan yang mengambil kira segala aspek, katanya pada sidang akhbar selepas majlis berkenaan.

"Kita pilih calon yang terbaik untuk BN... saya yakin beliau akan menjadi seorang Ahli Parlimen yang baik dan dapat bekerja sama penuh dengan semua," katanya.

Beliau berkata antara syarat penting juga ialah calon diterima oleh peringkat bahagian bagi mengelak berlaku pergeseran, termasuk prasyarat bahawa Ismail tidak akan bertanding dalam pemilihan bahagian Umno akan datang.

Pada pemilihan bahagian tahun lepas, Ismail tewas kepada Adun Trong Datuk Rosli Husin dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang.

Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Feb lepas. Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Pada pilihan raya umum lepas, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M.Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang dan pada pilihan raya umum lepas BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment