Thursday, April 9, 2009

Undi Cina dan fitnah faktor Pas kekal di Bukit Gantang

Dalam keghairahan mereka berkempen bagi memenangkan Nizar, apa yang agak dikesalkan adalah tindakan berterusan Pas memfitnah pemimpin. Selain memburukkan Perdana Menteri Najib Tun Razak, anak-anak beliau terus difitnah. Begitu juga Ahmad Zahid Hamidi digambarkan hadir di majlis jamuan dan tarian separuh bogel sedangkan gambar Ismail ditampal pada wajah lelaki berpelukan dengan wanita barat dan disebarkan di surau-surau.

petikan daripada http://www.malaysiaaktif.com/

NASIR SUKIMAN
8 April 2009

KEMARAHAN pengundi Cina terhadap apa yang didakwa sebagai komplot Barisan Nasional (BN) khususnya Umno menumbangkan kerajaan didukung DAP di Perak, beberapa bulan lalu ditunjukkan di peti undi P.059 Bukit Gantang, Selasa semalam.

Cuma kira-kira 10 peratus saja daripada pengundi Cina terutama dari kawasan Pekan Kuala Sepetang memangkah BN sekali gus memberi kemenangan kepada calon Pas, Nizar Jamaluddin.

Sentimen anti-BN itu terus ditiupkan oleh parti-parti pembangkang dan majoriti pengundi Cina memberikan undi kepada Pas bagi membolehkan bekas Menteri Besar Perak itu meraih 21,860 mengalahkan calon BN, Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi dengan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris 62 undi.

Penganalisis politik turut merumuskan dengan undi Melayu pecah di antara Nizar dengan Ismail, maka undi penduduk Cina itu telah menjadi penentu kemenangan berpihak kepada Nizar,

Pas mencapai kejayaan itu walaupun di beberapa kawasan seperti di Trong dan Cangkat Jering didapati undi Melayu beransur-ansur beralih kepada Umno. Cuma ia tidak cukup banyak bagi memberi kelebihan lantas kemenangan kepada BN.

Sokongan berubah daripada Pas kepada Umno itu mungkin berpunca daripada tindak-tanduk kerajaan bertulangbelakangkan DAP di Perak yang memberi geran tanah kekal kepada perkampungan Cina saja dan isu penderhakaan Nizar dan kerajaan pembangkang terhadap Sultan.

Pemerhatian di sekitar kawasan membuang undi memberi gambaran bahawa bagi penyokong dan peraih undi Pas, pilihan raya kecil pada Selasa lalu adalah satu perjuangan besar yang dijalankan secara bermati-matian.

Di hampir semua pusat membuang undi, bendera hijau bulan putih dikibarkan megah beratus-ratus aktivis Pas yang pastinya adalah dari luar kawasan dan yang telah bermukim di Bukit Gantang sejak hari penamaan calon 29 Mac lalu.

Kumpulan berkopiah ini memenuhi surau dan masjid di segenap pelusuk baik di Trong, Changkat Jering apatah lagi di taman-taman perumahan Kuala Sepetang.

Jentera Pas digerakkan sejak awal pagi lagi mengalahkan kumpulan kecil aktivis Umno yang tidak begitu ramai keluar membantu Ismail Saffian. Apa yang pasti aktivis Umno yang sedikit itu tenggelam di tengah-tengah keriuhan kempen penuh gigih Pas.

Begitu juga kebanyakan kegiatan Umno tertumpu kepada majlis dan acara rasmi melibatkan Menteri berbanding kempen Pas dimeriahkan dengan ekspo perdagangan dan pameran seperti di Markas Pas Perak di Air Kuning.

Senario yang sama kelihatan dari awal pagi hinggalah lewat petang 7 April apabila beratus-ratus aktivis khususnya ‘tukang’ peraih undi Pas tetap berbaris di luar pusat membuang undi tidak kira panas terik atau hujan renyai-renyai berbanding kumpulan kecil aktivis BN.

Deretan kereta dengan bendera dan logo Pas juga lebih banyak membawa pengundi berbanding BN menyebabkan pemerhati memberi pujian kepada jentera pilihan raya pembangkang yang sememangnya lebih bersiap sedia dan lebih gigih.

Namun apa yang agak menyedihkan adalah jentera BN hanya disertai aktivis Umno dan sekali sekala saja muncul kumpulan kecil ahli dan pemimpin Parti Gerakan dan MCA membantu kempen memikat pengundi terutama di kampung-kampung Melayu dan pekan ramai pengundi Cina.

Ini berbeza dengan Pas yang dibantu oleh hampir seluruh pemimpin DAP dan PKR dengan Anwar Ibrahim dan ‘orang kuat’ Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming turut serta di ceramah-ceramah memburuk dan memfitnah pemimpin BN.

Pas juga memastikan mesejnya konon ‘setiap pengundi Islam wajib mengundi Pas bagi memastikan mereka masuk syurga’ sampai kepada penduduk dengan menganjurkan ceramah dekat atau di dalam surau seperti di Taman Mewah, Kamunting.

Namun dalam keghairahan mereka berkempen bagi memenangkan Nizar, apa yang agak dikesalkan adalah tindakan berterusan Pas memfitnah pemimpin. Selain memburukkan Perdana Menteri Najib Tun Razak, anak-anak beliau terus difitnah.

Begitu juga Ahmad Zahid Hamidi digambarkan hadir di majlis jamuan dan tarian separuh bogel sedangkan gambar Ismail ditampal pada wajah lelaki berpelukan dengan wanita barat dan disebarkan di surau-surau. Surat-surat layang dengan tandatangan calon BN itu yang antara lain meminta maaf kerana perbuatan mungkar juga diedarkan sehari sebelum membuang undi. Semua tindakan khianat ini tidak syak lagi telah memburukkan imej Ismail dan BN di samping memungkinkan beliau kehilangan undi.

Apapun, kekalahan BN atau lebih tepat lagi Umno itu adalah satu pengajaran bahawa parti pemerintah perlu bekerja lebih keras dan mengotakan janjinya kepada lebih 19,000 pengundi Bukit Gantang yang setia menyokongnya selama ini.

Melupakan dan tidak membawa angin perubahan dan pembangunan kepada Bukit Gantang yang dikuasai Umno turun temurun sebelum Mac 2008, boleh membawa kesan buruk pada pilihan raya umum ke-13 kelak. - malaysiaaktif.com

No comments:

Post a Comment