Monday, February 16, 2009

Pemuda Kempen Rumah Ke Rumah Hadapi Pilahn Raya Bukit Gantang, Bukit Selambau

Bernama
16 Feb 2009

KOTA BELUD -- Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan berkempen dari rumah ke rumah menjelang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, kata Setiausaha BN Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata pendekatan itu digunakan selepas mendapati kaedah itu amat berkesan untuk menyampaikan mesej kepada semua pengundi.

"Jika kita gunakan kaedah berkempen di tempat umum hanya individu tertentu sahaja yang mendapat mesej dan perancangan BN untuk pembangunan negara. Dengan menggunakan kaedah ini semua keluarga tidak terkecuali untuk mendengar dan bertukar-tukar fikiran dengan kita," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Pemuda Umno Pusat dan Anggota Parlimen Kota Belud berkata semua jentera pemuda BN di seluruh negara telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas menghadapi pilihanraya kecil itu.

Pilihan raya kecil bagi Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shahrum, 50, daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung, manakala DUN Bukit Selambau berikutan peletakan jawatan penyandang V.Arumugam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan serentak pada 7 April dengan penamaan calon 29 Mac depan.

Selain itu, Abdul Rahman mencadangkan agar pemimpin pemuda peringkat negeri dan bahagian kerap turun padang untuk mendengar permasalahan di peringkat cawangan.

Pemimpin yang banyak bercakap ketika mengunjungi rakyat menyebabkan rakyat kekok dan memendamkan sahaja permasalahan mereka, katanya.

"Kurangkan bercakap, tapi jadilah seorang pendengar yang baik untuk mengetahui permasalahan rakyat di akar umbi," katanya.

-- BERNAMA

7 April Pilihan Raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau

Malaysiakini,13 Feb 2009
Jimadie Shah Othman

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.

Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung.

Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Pilihan raya kecil pertama Najib

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam-macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".

Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.

Daftar pemilih

Abdul Aziz juga memberitahu, daftar pemilih untuk kedua-dua kawasan ditentukan berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2007 dan digabungkan dengan daftar tambahan pada suku pertama, suku kedua dan suku ketiga 2008.

Katanya, daftar tersebut akan mula dijual mulai 21 Februari bagi senarai tanpa saluran dan pada 21 Februari bagi senarai dengan saluran.

Terdapat 55,562 pemilih berdaftar di Bukit Gantang dengan 55,426 pemilih biasa dan 136 pemilih pos.

Di Bukit Selambau pula seramai 35,140 layak mengundi. Seramai 35,125 merupakan pemilih biasa, manakala 15 lagi pemilih pos.

Sebanyak 32 pusat mengundi akan dibuka di Bukit Gantang manakala sebanyak 22 lagi akan dibuka di Bukit Selambau.

Abdul Aziz juga berkata, Pemantau Bagi Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel) diberikan kebenaran menjadi pemerhati.

Tarikh tidak jejas pengundi

Ditanya kenapa SPR tidak memilih hari hujung minggu sebagai tarikh pengundian, seperti amalan biasa, Abdul Aziz berkata, ia dibuat berdasarkan tempoh 60 hari yang diperuntukan kepada mereka.

Katanya, ketetapan tarikh itu juga tidak akan menjejaskan jumlah pengundi yang akan turun menunaikan tanggungjawab.

"Kalau hendak mengundi, dia akan ambil cuti dan balik kampung. Sekolah-sekolah yang jadi tempat mengundi akan bercutilah," katanya.

Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.