Tuesday, March 24, 2009

Penyokong Pas digesa menderhaka

Renungan Bukit Gantang


SEJAJAR dasarnya biarlah rakyat menderhaka kepada Sultan, Presiden Teras Pengupayahan Melayu, Muhamad Azmi Abdul Hamid bertempik “Raja adil, raja disembah, raja zalim, raja disanggah” .
Lebih 500 hadirin di ruang dalam dan dua buah khemah di pekarangan Surau Istiqlal, Taman Mewah, Kamunting, tidak berdetik sedikit pun.
Azmi selanjutnya menambah:”Derhaka kepada Sultan tidak apa kerana yang kita takut adalah derhaka kepada Allah” .
Isunya tidaklah lain: Sultan Azlan Shah memperkenan melantik Dr Zambry Abdul Kadir sebagai MB baru menggantikan Nizar Jamaluddin yang hilang majoriti dalam DUN Perak.
Dua perkara penting yang dilupai oleh Azmi dan hadirin yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan Umno dan BN adalah pertama : Sultan Azlan mahukan anak Melayu menjadi MB walaupun Pas cuma menang enam kerusi pada pilihan raya umum peringkat DUN pada 8 Mac tahun lalu.
Ini berbanding DAP yang merangkul 18 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat tujuh kerusi.
Nizar, Pas dan orang Melayu amnya harus bersyukur kerana kuasa tidak dirampas oleh DAP yang jelas mendalangi segala gerak tindakan kerajaan campuran pembangkang di Perak sejak ia berkuasa.
Kedua: lompat melompat parti sebenarnya amat digalakkan dan ditaja oleh penasihat umum PKR, Anwar Ibrahim. Ia adalah sebahagian percaturan dan mainan politik dalam sistem demokrasi.
Mengapa melenting dan bertali arus memfailkan saman apabila dua Adun PKR masuk Umno dan seorang Adun DAP masuk MCA?
Melayu banyak terhutang budi kepada Umno dan pejuang bangsa dalam kerajaan selama ini. Jika tidak kerana pemimpin seperti Tengku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamed, kita kekal golongan teramai miskin dan menjadi budak pejabat selain drebar saja.
Hari ini kita bangga anak-anak kita mampu dan boleh ke universiti awam, terlatih sebagai professional dan golongan elit dan kelas pertengahan meningkat mendadak.
Setelah dua jam berceramah dengan Profesor Aziz Bari (UIAM) memberi penerangan daripada segi perlembagaan dan cacatan sejarah krisis politik seperti di Sarawak dan Sabah pada tahun-tahun 90-an, seorang hadirin bersuara:
“Sabarlah Yeop..ini semua kudrat Illahi…semuanya ujian..tiga tahun lagi kita berjuang semula”.

No comments:

Post a Comment