Tuesday, March 24, 2009

Gerai mihun sup RM1 tumpuan aktivis, petugas

Pak Ngah Ke Bukit Gantang (4)

SELAIN menjalankan tugas menjelang Pilihanraya Kecil P.059 Bukit Gantang, Pak Ngah tentunya ke restoran dan gerai makanan baik milik Melayu atau India di sekitar Kamunting dan Taiping.
Maklumlah di gerai-gerai inilah aktivis baik Pas atau Umno menjadikannya markas kecil dan pusat berbual atau berborak politik baik sambil bersarapan mahupun minum teh petang (mentong kata orang Jawa) atau makan malam.
Cuma yang ketara setakat ini kebanyakan aktivis Pas lengkap berkopiah berlegar di surau yang mula menganjurkan ceramah politik.
Nampaknya jumlah gerai di simpang dan sepanjang jalan utama taman-taman perumahan milik Melayu begitu banyak sekali hampir sama dengan suasana dan sambutan di Kuala Lumpur dan bandar pinggirnya seperti Ampang, Gombak dan yang lain.
Pembelinya pun cukup ramai maklumlah mungkin hampir 100 peratus penghuni taman perumahan Kamunting adalah pekerja baik sektor awam atau swasta yang makan gaji dan kurang memasak di rumah.
Jadi kebanyakan gerai dibuka sebaik saja selepas Subuh dan menjual nasi lemak, nasi kerabu dan nasi goreng selain kuih muih seperti karipap (epok-epok di Johor); kuih kaswi, kuih bakar, onde-onde dan kuih keria.
Cuma apa yang pasti membezakan gerai dan peniaga di Kamunting/Taiping dengan di Kuala Lumpur adalah kadar harga bagi setiap jenis makanan.
Bayangkan, sebungkus nasi lemak biasa iaitu semangkuk nasi dicampur sambal (udang, kerang atau ikan bilis) dengan dua ulas timun dan suku telur rebus cuma 60 sen saja. Kuih muih kebanyakannya 20 sen sekeping sedangkan roti canai dengan kuah 60 sen sekeping dan tosai RM1 satu.
Namun lebih memeranjatkan Pak Ngah adalah secucuk sate ayam dijual 15 sen saja dan mihun sup Utara RM1 semangkuk siap dengan daging. Mi goreng mamak dijual pegerai Melayu pula cuma RM2 sepinggan dan tambah 50 sen jika ditambah daging, kerang dan udang.
Sama seperti pasar mini, hampir semua restoran adalah milik India atau Cina. Mungkin sebuah saja restoran agak besar milik Melayu. Harga masakannya boleh tahan maklumlah hiasan dalaman restoran agak mewah.
Cuma nasi beriani agak murah iaitu sepinggan RM2 dengan daging kambing antara RM2 hingga RM3.50 sepotong/cincang. Bagi petugas dan aktivis baik Umno atau Pas dari ibu negara tentulah senarai harga makanan itu terlalu murah tetapi bagi aktivis dari Kelantan, Kedah dan Perlis ia sama saja dengan harga makan pagi di Jalan Kuala Berang, Sintok dan Arau.

No comments:

Post a Comment