Friday, March 13, 2009

Bukit Gantang medan uji pengaruh BN, pembangkang

KIRA-kira 50 meter dari pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, terletak dua pokok besar, satu pokok mempelam dan satu lagi pokok hujan-hujan atau juga dikenali rain tree.

Dua pokok berkenaan sudah berada di situ sejak sekian lama dan tiada siapa mengambil peduli mengenainya. Ia sekadar pokok biasa menjadi tempat berteduh kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan mereka di situ atau mereka yang meletak kereta untuk ke restoran berdekatan.

Tidak ada yang istimewa, malah ia cuma pokok besar yang sudah agak tua - barangkali tidak siapa tahu usia sebenar pokok terbabit, sehinggalah di bawahnya berlaku satu peristiwa yang disifatkan sebagai `DUN tergempar' pada 3 Mac lalu hingga mencetuskan kekecohan.

Semuanya berlaku selepas 28 Adun Pakatan Rakyat yang tidak dapat masuk ke dewan persidangan, untuk mengadakan `sidang DUN tergempar' pada pagi berkenaan, sebaliknya bergerak ke bawah pokok itu dan meneruskan persidangan yang `terhalang'.

Ada yang beranggapan ia sebagai satu tindakan Adun Pakatan Rakyat bagi meraih simpati rakyat untuk terus menyokong mereka sebagai kerajaan negeri yang sah, namun tidak kurang beranggapan ia sebagai satu jenaka politik yang sudah pasti akan dikenang dalam sejarah pergolakan politik di Perak.

Apapun ketika suasana politik Perak masih belum reda sepenuhnya berikutan peralihan kuasa yang mencetuskan krisis perlembagaan Perak awal Februari lalu, kini Perak sekali lagi bakal berdepan dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini.

Banyak pihak berpendapat pilihan raya kecil itu akan menentukan arah sebenar sokongan rakyat khususnya pengundi terhadap kerajaan negeri yang baru diterajui Barisan Nasional (BN) atau kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat terdahulu.

Jika ditanya kepada pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka yakin menang dalam pilihan raya kecil kali ini dan begitu juga dengan penyokong dan pemimpin BN, masing-masing yakin menang dengan 1,001 alasan dan fakta yang akan diberikan.

Pakatan Rakyat yakin menang bersandarkan kepada faktor bahawa pengundi akan menyokong mereka kerana pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui mereka selama 11 bulan didakwa diambil alih secara tidak sah. Berikutan itu, rakyat dikatakan ‘terlalu marah' dengan cara dan pendekatan yang digunakan oleh BN untuk mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri.

Atas alasan itu, mereka sehingga ini masih percaya bahawa mereka adalah kerajaan negeri yang sah. Begitu juga bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin dia masih `Menteri Besar Perak'.

Apapun, semuanya terpulang kepada keberkesanan jentera BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan sejauh mana mereka mampu memberi penjelasan terhadap kemelut politik dan krisis perlembagaan yang berlaku di Perak dengan menggunakan setiap medium yang ada.

Kegagalan untuk memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat Perak, khususnya kepada pengundi dalam Parlimen Bukit Gantang terhadap pergolakan politik yang berlaku sudah pasti akan memberi kesan kepada usaha meraih sokongan pengundi bagi mengundi calon BN.

Bagi Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pula, BN adalah kerajaan negeri yang sah kerana semua pelantikan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilakukan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pada 6 Februari lalu adalah atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah.

Mendapat perkenan Baginda Tuanku Sultan Perak adalah asas paling penting dan utama mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, bagi mengesahkan pelantikan seorang Menteri Besar dan barisan Exco yang seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Tanpa mendapat perkenan Sultan Perak, semua urusan pentadbiran kerajaan negeri menjadi tidak sah termasuk mengadakan Sidang DUN atau meluluskan apa juga usul dalam persidangan.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga kawasan DUN iaitu Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering. Mengikut Daftar Pemilih pada pilihan raya umum lalu, sebanyak 63.5 peratus pengundi di Parlimen Bukit Gantang adalah orang Melayu, Cina (27.1 peratus) dan India (9.1 peratus).

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Trong dimenangi Datuk Rosli Husin yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang menumpaskan calon Pas, Norazli Musa, dengan majoriti 916 undi, manakala Changkat Jering dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi wakil rakyat Bebas, Mohd Osman Jailu menewaskan Datuk Mat Isa Ismail dengan majoriti 1,102 undi dan Kuala Sepetang dimenangi Tai Sing Ng (PKR) mengalahkan See Tean Seng (BN) dengan majoriti 564 undi.

Sejak beberapa penggal lalu, Parlimen Bukit Gantang adalah kubu kuat BN, namun atas beberapa faktor terutama dikatakan wujudnya calon luar menyebabkan pengundi menolak BN pada pilihan raya umum lalu.

Pada pilihan Raya Umum 2004, Parlimen Bukit Gantang dimenangi calon BN, yang juga Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe sebelum berpindah untuk bertanding di Parlimen Grik, manakala pada 2008, calon BN, Datuk Abdul Azim Zabidi tewas kepada calon Pas, Allahyarham Roslan Shaharum.

Sehubungan itu, pemerhati politik berpendapat jika sekali lagi BN meletak calon luar, memang BN sengaja tidak mahu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang kali ini.

Rosli selaku Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang berkata, BN tidak seharusnya mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum lalu kerana bedah siasat yang dilakukan mendapati antara punca kekalahan ialah faktor calon luar.

"Oleh itu, perkara paling penting ialah memastikan calon adalah anak tempatan dan dapat diterima oleh penduduk di sini, jadi kita pun tidak sukar untuk berkempen bagi meyakinkan pengundi memilih BN.

"Tambahan pula dalam mood sekarang, penyokong BN dan mereka yang berada atas pagar sudah kembali berpihak kepada BN selepas menyedari kesilapan mereka pada pilihan raya lalu mengundi pembangkang," katanya.

Apapun, Dr Zambry baru-baru ini berkata pihaknya sudah menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan tertinggi BN untuk menentukan siapa yang bakal menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu. Walaupun nama mereka tidak didedahkan, Dr Zambry menjelaskan semua mereka adalah anak tempatan yang dikenali serta mampu meraih sokongan seterusnya pengundi untuk memilih mereka.

Sejauh mana anak tempatan mampu meraih sokongan tidak dipastikan. Jika Pas juga meletakkan anak tempatan sudah pasti akan berlaku persaingan sengit dalam merebut kerusi Parlimen berkenaan.

Dr Zambry berkata, ketiga-tiga calon itu dianggap popular di kalangan rakyat pelbagai kaum di Bukit Gantang dan semuanya orang tempatan.

"Nama itu akan diumumkan tidak lama lagi. Ini calon yang boleh diterima oleh rakyat .... tidak semestinya wanita, tidak semestinya lelaki. Semua boleh," katanya.

Selain itu, pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang juga akan menentukan ke mana arahnya pengundi Cina, sama ada mereka akan memilih calon BN atau kekal memilih calon Pakatan Rakyat seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya umum lalu terutama pada DUN Kuala Sepetang yang dimenangi calon PKR.

Lebih penting mampukah kemenangan BN menutup mulut penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat dan pada masa sama meredakan kemelut di Perak. Semuanya terletak di tangan pengundi.

Berita Harian
13 Mac 2009

No comments:

Post a Comment