Wednesday, April 1, 2009

Rafidah tampil bantu BN di Bukit Gantang





NASIR SUKIMAN
31 Mac 2009
(www.malaysiaaktif.com)

RAMAI yang berpendapat jentera kempen BN akan tempang sedikit jika Rafidah Aziz gagal mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia. Mereka percaya Rafidah tidak akan turun padang. Itu bacaan mereka sebelum Perhimpunan Agung UMNO ke-59 yang baru berakhir Sabtu lalu.

Tangapan mereka meleset. Pada hari ini, Rafidah muncul di kawasan Parlimen Bukit Gantang bagi mendapatkan sokongan bagi
calon BN, Ismail Saffian.

``Kebetulannya saya tidak lagi jadi pengarah (jentera pilihan raya Wanita BN) secara langsung,
tapi saya datang nak lihat arahan kerja sudah dibuat...Alhamdulillah amanah saya (yang dibuat sebelum pemilihan)
diteruskan," katanya selepas melawat Bilik Gerakan Induk Wanita
Umno.

Pengurusan jentera pilihan raya di Bukit Gantang akan dikendalikan oleh Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim manakala Bukit Selambau akan diketuai Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Selangor Rosni Sohar.

"Pesanan saya, jika mereka teruskan kerja yang telah dirancang, tidak akan timbul masalah dan kempen berjalan lancar. Tanpa Wanita meraih undi dari rumah ke rumah, kita tidak akan dapat menjangkau pengundi di peringkat akar umbi.

"Harapan saya, petugas jentera pilihan raya Wanita BN yang baru ini (di bawah Shahrizat Abdul Jalil) cepat mengambil alih kerja dan mengagihkan urusan kerana kita tidak ada masa untuk nak belajar dan memahami kerja yang patut dibuat," katanya.

Malah bukan Rafidah sahaja yang tampil membantu jentera BN di Bukit Gantang, ramai lagi yang tewas turut serta termasuk Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO setelah didapati bersalah oleh Lembaga Displin UMNO atas kesalahan politik wang.

Antara yang paling ketara ialah Muhammad Mohd Taib, calon Timbalan Presiden UMNO yang tewas kepada Muhyiddin Yassin, dan Mukriz Tun Mahathir yang tewas dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO.

Ternyata UMNO mendapat semangat baru selepas Perhimpunan Agung yang menyaksikan peralihan kuasa pucuk pimpinan daripada Pak Lah kepada Mohd Najib Tun Razak dan Muhyiddin.

Pas yang dari awal menyangka Bukit Gantang tidak akan terlepas daripada genggaman, kini mulai terhakis keyakinan. - malaysiaaktif.com

No comments:

Post a Comment