Wednesday, April 8, 2009

Gagal Bukan Bermakna Rakyat Tolak Kepimpinan Najib: Hishammuddin

Renungan Perjuangan Belum Selesai: Hanya beberapa hari PM baru memegang jawatan nyata tidak banyak memberi impak kepada keputusan PRK Bukit Gantang. Ini kerana masyarakat tempatan telah mempunyai isu dan pandangan masing-masing..

SUNGAI PETANI,
7 April (Bernama)
-- Kegagalan Barisan Nasional merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau daripada pembangkang bukan bermakna rakyat menolak kepimpinan baru negara yang kini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor tempatan dan nasional yang menyumbang kepada kekalahan itu.

"Itu adalah jauh sekali kerana (Datuk Seri) Najib baru pegang tampuk pimpinan dan barisan jemaah menteri belum pun diumumkan dan dalam keadaan ini, saya rasa jauh untuk orang menilai kepimpinannya kerana saya mengenali Najib dengan dekat dan melalui beberapa pilihan raya kecil dengannya.

"Saya percaya berikan masa kepada kami. Kita dapat buktikan bahawa politik BN bukan politik sementara, bukan politik sensasi dan bukan politik berkisar kepada isu-isu tertentu sahaja tetapi suatu perjuangan yang konsisten dan mengambil kira citarasa dan kehendak orang ramai, masa, tempat dan zaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan pilihan raya kecil itu di mana kegagalan BN merampas kembali kerusi berkenaan daripada pakatan pembangkang di Bilik Gerakan BN di sini malam ini.

Katanya adalah tidak adil untuk menilai prestasi BN di bawah pimpinan Najib kerana pilihan raya kecil berlaku ketika BN baru saja mengalami peralihan kuasa dan pertukaran pemimpinnya.

"Beri masa kepada kami dan kita akan membuktikan bahawa politik BN bukan sementara, sensasi dan berkisar pada isu tertentu sahaja tetapi perjuangan BN adalah konsisten dan mengambilkira aspirasi rakyat," katanya.

Hishammuddin berkata kekalahan pilihan raya kecil itu memberi pengajaran berguna kepada BN dalam mengharungi masa depan terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata BN menerima keputusan kekalahan kerusi DUN Bukit Selambau dengan hati terbuka dan parti itu akan mengkaji faktor-faktor yang membawa kepada kekalahan itu.

"Ini merupakan satu pengajaran yang ada hikmahnya dan kita akan telitinya secara terperinci dan memastikan bahawa menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang akan kita hadapi, kita belajar dari pengalaman kita di sini," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Mahdzir Khalid dan calon BN Datuk S. Ganesan.

Sementara itu, Ganesan yang kelihatan sugul tetapi tenang menerima keputusan yang tidak berpihak kepada beliau dan BN.

"Kita hormati keputusan yang telah dibuat oleh pengundi di Bukit Selambau namun kita akan tetap terus berkhidmat kepada masyarakat di mana janji-janji yang telah diberikan, kita akan tunaikan," katanya.

Dalam pilihan raya kecil itu, BN memperoleh 10,229 undi, calon PKR S.Manikumar mendapat 12,632 undi manakala kesemua 13 calon Bebas hilang wang pertaruhan. Majoriti undi 2,403.

-- BERNAMA

1 comment: